Friday, July 30, 2010

Puasa


HIKMAH DAN KELEBIHAN IBADAH PUASA
Sangat banyak hadis Nabi Muhammad s.a.w. mengenai hikmat dan kelebihan ibadat puasa antaranya ialah:

1. Sabda Nabi:
Ertinya: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dalam keadaan beriman dan kerana Allah, nescaya diampun dosa-dosanya yang telah lalu".
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah).

2. Sabdanya lagi:
Ertinya: "Tiap-tiap amalan anak Adam itu digandakan — satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga tujuh ratus ganda, firman Allah Taala — "melainkan puasa, yang diamalkan untuk Aku, maka Akulah yang akan membalasnya, ia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana untuk Aku". Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan — pertama gembira ketika ia berbuka clan keduanya gembira ketika menemui Tuhannya nanti. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Puasa itu adalah perisai, apabila salah seorang kamu berpuasa maka janganlah mencarut dan jangan berkelahi. Maka apabila ada orang yang mencerca dan hendak membunuhnya, katakanlah kepadanya:"Sesungguhnya aku adalah orang yang berpuasa".

RUKUN PUASA
Orang yang berpuasa
Niat (sahaja aku berpuasa esok hari di Bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala)
Menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa.

SYARAT SAH PUASA
Islam — tidak sah puasa orang-orang kafir dan orang murtad.
Berakal atau mumaiyiz — tidak sah puasa orang yang hilang akal atau belum mumaiyiz.
Suci daripada haid dan nifas sepanjang siang hari puasa.
Berniat pada tiap-tiap malam.
Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa.
Pada hari yang sah puasa — tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa.

SUNAT PUASA
Perkara-perkara yang disunatkan bagi orang-orang yang berpuasa ialah:
Menyegerakan berbuka puasa manakala telah yakin masuk matahari.
Berbuka puasa dengan buah tamar atau benda-benda manis, dan jika tidak didapati dengan air.
Membaca doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Makan sahur.
Melambatkan makan sahur, tetapi janganlah sampai masa yang disyaki naik fajar.
Mandi hadas besar sebelum terbit fajar.
Membanyakkan bersedekah dan ibadah seperti membaca AI-Quran, sembahyang­sembahyang sunat seperti tarawih dan witir.
lktikaf

BATAL PUASA
Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara-­perkara di bawah ini:
Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja (makan & minum).
Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).
Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak keluar mani.
Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk­ cium dan sebagainya.
Kedatangan haid atau nifas.
Gila sekalipun hanya sekejap masa.
Mabuk atau pengsan sepanjang-panjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Bersalin.
Berbuka puasa sebelum yakin terbenam matahari.
Murtad — iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hari, perkataan atau perbuatan.
Merokok

TIDAK BATAL PUASA
Menelan air liur yang bersih dan dimaafkan bagi orang yang gusinya selalu berdarah.
Bersuntik ubat atau air garam ke dalam saluran darah.
Termasuk debu atau tepung yang halus ke dalam rongga.
Termasuk agas atau nyamuk dan seumpamanya ke dalam rongga.
Termasuk air semasa berkumur-kumur atau air yang dihisap ke hidung dengan tidak bersangatan.
Termasuk air mandi semasa wajib atau mandi sunat
Memasukkan sesuatu ke dalam dubur atau qubul dengan sengaja untuk tujuan istinjak atau perubatan.

MAKRUH PUASA
Menggosok gigi selepas gelincir matahari (selepas zohor).
Merasa makanan - kerana takut sampai ke dalam rongga.
Memamah sesuatu - kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan.
Mencium atau mengucup isteri.
Banyak berkumur-kumur.
Mengeluarkan darah seperti berbekam dan lainnya.

ADAB BERPUASA
Setengah daripada adab-adab yang baik bagi menambahkan kesempurnaan dan pahala puasa ialah:
Jangan banyak berludah.
Jangan membuang masa dengan berbual-bual kosong main terup, main dam dan sebagainya.
Menghindarkan diri daripada melihat perkara­perkara yang haram.
Menjauhkan diri dari sebarang pendengaran yang haram.
Jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang mencarut atau kotor.
Menjaga tangan dari melakukan perbuatan haram dan menahan kaki dari berjalan ke tempat-tempat maksiat.
Jangan berlebih-lebihan makan minum ketika berbuka.
Jangan boros dalam perbelanjaan makan minum dan sebagainya.
Jangan banyak tidur, terutamanya waktu Siang hari.

DIBOLEHKAN BERBUKA BAGI:
Kedatangan haid atau nifas (wajib berbuka).
Sakit yang membahayakan.
Sakit yang tiada harapan sembuhnya.
Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan dan mencemaskan.
Dalam perjalanan (safar) sejauh dua marhalah (kira-kira 91km) atau lebih.
Tua yang tiada kuasa (daya) berpuasa.
Kandungan dalam perut bagi perempuan.
Menyusukan anak kecil.

Hukum-hukum kerana meninggalkan puasa terbahagi empat:
Wajib qadak.
Wajib qadak dan wajib membayar fidyah.
Tidak wajib qadak.
Tidak wajib qadak tetapi wajib membayar fidyah.

Wajib qadak dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa kerana:
Kedatangan haid dan nifas.
Sakit yang membahayakan.
Tersangat lapar dan dahaga.
Dalam perjalanan.
Pitam
Mabuk
Mengandung *
Menyusukan anak *
( * berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-masing.)

Wajib qadak dan membayar fidyah dikenakan khusus kepada:
Orang yang mengandung *
Orang yang menyusukan *
( * berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak masing- ­masing.)

Kadar Fidyah 1 hari = 1 cupak beras (lebih kurang 600gram)

Tidak wajib qadak khusus kepada orang yang meninggalkan puasa kerana:
Kafir (tidak beragama Islam).
Kanak-kanak.
Gila.

Tidak wajib qadak tetapi wajib membayar fidyah dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa kerana:
Sakit yang tidak ada harapan sembuhnya.
Tua yang tidak kuasa (daya) berpuasa.

Beberapa Catatan Penting:
LEWAT QADAK PUASA:
Jika lewat qadak puasa hingga datang bulan Ramadan yang lain, wajib membayar fidyah secupak pada tiap-tiap hari puasa, dan jika lewat dua tahun. melewati dua kali Ramadan, wajib berfidyah sebanyak dua cupak dan begitulah seterusnya di samping wajib mengqadak puasa itu.

ORANG YANG MATI SEBELUM QADAK PUASA:
1. Orang yang lupus puasa Ramadan kerana sakit atau musafir dan ia mati sebelum mengqadaknya, tidak wajib diikuti dengan qadak atau fidyah dan tidak berdosa.
2. Jika seseorang itu mati sebelum mengqadak puasanya dengan ketiadaan uzur, maka walinya hendaklah mengqadakkannya atau mengeluarkan fidyah secupak pada tiap-tiap hari puasanya.
3. Fidyah puasa: laitu mengeluarkan secupak bahan makanan asasi (di negeri kita — beras) untuk tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkan, kepada fakir miskin.

MELAKUKAN PERSETUBUHAN KETIKA BERPUASA
1. Persetubuhan itu akan membatalkan puasa jika dilakukan dengan sengaja (dalam keadaan sedar) sekalipun tidak keluar mani.
2. Menyebabkan wajib membayar kifarat (denda) selain mengqadak puasa bagi orang yang melakukan persetubuhan (pihak lelaki sahaja) jika sekiranya:
Persetubuhan dilakukan pada Siang hari.
Persetubuhan diiakukan dengan sengaja (tidak kerana lupa atau dipaksa).
Puasa yang dilakukan pada bulan Ramadan (bukan kerana nazar, kifarat, puasa qadak Ramadan dan lain-lainnya).
Tidak didahului oleh pembatalan puasa dengan makan atau minum dan seumpamanya.

KIFARAT KERANA BERSETUBUH
Bilangan kifarat dikenakan bagi bilangan hari —bukan bilangan kali persetubuhan dilakukan,ertinya: jika seseorang itu bersetubuh beberapa kali dalam sehari, maka diwajibkan hanya satu kifarat sahaja, dan jika bersetubuh dua hari, diwajibkan dua kifarat dan demikianlah seterusnya.

Satu kifarat atau denda bagi orang yang melakukan persetubuhan ketika berpuasa pada bulan Ramadan ialah:
Memerdekakan seorang hamba yang mukmin, jika tidak kuasa;
Wajib berpuasa dua bulan berturut-tuiut,jika tiada kuasa:
Wajib memberi sedekah 60 cupak makanan

DARJAH PUASA
Puasa itu ada mempunyai tiga darjah (tingkatan):
Puasa 'umum' iaitu puasa kebanyakan orang dengan hanya menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa dalam masa yang sama berbuat maksiat (mengumpat, menonton siaran tv yang ada unsur maksiat,) siang atau malamnya. Puasa darjah ini hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja, tidak diredhai Allah Ta’ala.
Puasa 'Al-Khusus' iaitu berpuasa dengan cara menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa, serta mengawal anggota­anggota yang zahir seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan faraj daripada melakukan maksiat. Puasa darjah ini diredhai Allah Ta’ala.
Puasa 'Khususul Khusus' iaitu berpuasa dengan cara memelihara segala perkara yang tersebut di atas tadi, sambil menjaga hatinya daripada maksiat batin iaitu sifat-sifat riak, ujub, takabbur dan lain-lainnya serta menghayati keagungan dan kebesaran Allah Ta’ala. Inilah puasa yang sangat berkualiti, seperti yang dilaksanakan oleh para nabi dan rasul serta wali Allah.

IKTIKAF
Iktikaf menurut dari segi bahasa bermakna: berhenti sebentar.
Adapun pengertian menurut istilah syara’ ialah: berhenti atau duduk di dalam masjid dalam jangka waktu yang ditentukan dengan niat untuk melakukan amal ibadah kepada Allah S.W.T.

lbadah yang dimaksudkan itu ialah seperti sembahyang-sembahyang sunat,zikir, doa. Membaca Al­Quran dan lain-lainnya. lktikaf boleh dilakukan pada waktu malam atau Siang.
Hukum melakukannya ialah:
1. Sunat, terutama dalam bulan Ramadan.
2. Wajib, kiranya dinazarkan.

Menurut sejarahnya, baginda Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa mengerjakan iktikaf dalam bulan Ramadan, terutama pada sepuluh hari yang terakhir.
Hal ini diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Saiyidatina 'Aisyah r.a. demikian katanya:
Ertinya: "Adalah Rasulullah mengerjakan iktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan, sehinggalah kepada saat baginda wafat."

0 comments:

Related Posts with Thumbnails